“Doa adalah
senjata umat Islam dan sebaik kandungan
mencecah empat bulan, ibu digalakkan bacaan surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah.
Bapa juga perlu mengambil tanggungjawab membaca surah berkenaan dan dihembuskan
ke perut isteri.
“Surah
Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan
manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran. Apabila hati
terang dan lapang, anak mudah menerima pelajaran. Ibu juga digalakkan membaca
surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh
diteruskan sehingga anak cukup umur,” katanya.
Katanya,
satu perkara perlu diingati oleh semua ibu bapa iaitu semua anak dilahirkan
pintar cuma cara merangsang yang membezakan impaknya. Ini wujud dalam bentuk
pakej iaitu mesti membetulkan hati, otak, makanan, persekitaran dan didikan.
Beliau
menegur sikap kebanyakan ibu bapa yang tidak mempunyai misi jelas dalam usaha memulakan keluarga.
“Semua anak
dilahirkan pintar tetapi yang memberi impak ialah cara kita merangsang mereka.
Bagi tujuan itu, ibu bapa mesti mempunyai misi jelas iaitu menanam tekad
membentuk masa depan anak sebagai doktor misalnya. Ibu dan bapa perlulah
memupuk minat anak menjadi doktor dengan membaca buku berkaitan perubatan sejak
hamil.
“Wanita
Yahudi misalnya, mendidik anak sejak dalam kandungan. Sebaik hamil, mereka akan
membuat latihan matematik, mendengar muzik dan bermain muzik untuk merangsang
perkembangan anak. Ia terbukti berkesan dan jangan hairan jika anak-anak Yahudi
dilahirkan bijak. Kita juga boleh berbuat demikian. Malah sebagai orang Islam
kita mempunyai 1,001 cara untuk membentuk anak menjadi pintar dan soleh pada
masa sama,” katanya.
Dr
Mohd Fadzilah Kamsah berkata, dia sendiri pernah bertemu dengan seorang wanita yang tidak
pernah lalai membaca sehingga satu juzuk al-Quran
setiap hari sepanjang hamil.
“Jika dia
keletihan, suaminya akan menyambung membaca dan pahala dihadiahkan kepada bayi
dalam kandungan. Anak itu
dilahirkan dan membesar menjadi seorang lelaki yang bijak, pintar dan tinggi
akhlaknya. Ini bukti betapa ayat
Quran dan doa cukup
berkesan dalam usaha membentuk anak pintar. Jika tidak berkesempatan mendidik
anak dari dalam perut, belum terlambat untuk berbuat demikian walaupun mereka
sudah menjejak alam persekolahan,” katanya.
Malah,
baginya, antara saat paling mustajab mendidik anak ialah ‘hypnagogic moment’ iaitu
masa antara anak berada dalam keadaan antara sedar dan tidak ketika hendak
tidur.
“Ketika itu,
mereka seolah-olah terpukau dan apa saja yang disebutkan ketika itu akan
meresap masuk ke dalam hati. Rebut peluang untuk membisikkan kata-kata nasihat,
pujian dan pesanan ketika mereka dalam keadaan itu dan Insya-Allah anak-anak
akan menurut apa yang dikatakan.
“Waktu lain
yang turut memberi impak besar kepada usaha ibu bapa memberi didikan ialah
sebelum anak-anak tidur, sedang tidur dan baru bangun tidur. Ambil masa
seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain
memberikan nasihat,” katanya.
Beliau turut
menegur tindakan ibu bapa yang selalu terlanjur mengeluarkan perkataan negatif
ketika marah.
“Kata-kata
itu satu doa. Anak boleh dimarah dan kena dimarah tetapi biarlah marah itu
berunsurkan positif. Jangan sesekali keluarkan perkataan degil, keras kepala
kepada anak. Sebaliknya jika mereka melakukan sesuatu kesilapan, katakan kepada
mereka: “Kamu anak baik. Kamu anak bijak. Mengapa lakukan perkara itu,”
katanya.
‘Formula Adi
Putra berasaskan kiraan Islam’
IMPIAN untuk
bertentang mata dengan Adi Putra Abdul Ghani, 11, tidak kesampaian kerana dia
berada di kampung neneknya yang baru meninggal dunia. Namun peluang bertemu
ayahnya memberi kesempatan mengenali siapa sebenarnya Adi Putra yang mendapat
pengiktirafan antarabangsa dan sehingga kini sudah mencipta 228 formula
menyelesaikan masalah matematik.
Kisah
kepintaran Adi Putra menyelesaikan masalah matematik sudah terlalu banyak
diperkatakan tetapi kali ini penulis dihidangkan dengan sisi lain budak cerdik
itu.
Menerusi
paparan cakera padat, Adi Putra hanya menonjol dalam matematik tetapi pelbagai
bidang lain yang melampaui usia sebenarnya.
“Ia satu
anugerah Allah yang wajar kita syukuri. Ia juga satu bukti kehebatan Allah yang
mampu memilih sesiapa saja untuk diberikan keistimewaan biarpun makhluk itu
semuda Adi Putra,” kata Abdul Ghani ketika ditemui baru-baru ini.
Menariknya
mengenai Adi Putra ialah semua formula matematiknya berasaskan cara kiraan
Islam 100 peratus dan cara penyelesaiannya berdasarkan cakerawala, peredaran
bulan, matahari, bumi serta menggunakan semua ciptaan Allah SWT di muka bumi
ini seperti bukit dan tidak ketinggalan mengguna pakai perkiraan orang dulu.
Abdul Ghani
mendakwa, kaedah pengiraan itu diiktiraf pakar antarabangsa malah di luar
negara satu formula Adi Putra dinilai bersamaan RM1 juta dan modul sifir yang
dihasilkannya bernilai berbilion ringgit.
“Jangan
anggap Adi Putra budak kecil kerana selain pintar dalam matematik, dia juga
mampu mengajar, petah berbicara walaupun ketika ditemubual stesen televisyen
antarabangsa malah tidak kekok bersama dengan pembesar negara,” katanya.
Katanya,
anaknya itu juga diiktiraf memiliki pengetahuan ilmu matematik berusia 400 hingga
500 tahun dulu yang pernah dikuasai ilmuwan Islam. Adi Putra bukan hanya
menguasai formula matematik sebaliknya mengkaji setiap nombor.
“Kita
dianugerahkan jari dan pelbagai bentuk bantuan semula jadi untuk mengira. Adi
Putra juga menggariskan tiga perkara yang merosakkan dan melemahkan minda umat
Islam iaitu terciptanya kalkulator, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dan permainan
video.
“Matematik
dan sains tidak dimonopoli sesuatu bangsa sebaliknya terpulang kepada kita
untuk menguasainya. Ilmuwan Islam terdahulu sudah membuktikan betapa kita
sebenarnya menguasai matematik, bukan orang lain.
“Apa yang
penting ialah bukan sekadar anak kita bijak tetapi juga kreatif. Adi Putra
mengajar budak lain untuk turut kreatif mencari penyelesaian kepada masalah
matematik dengan tempoh paling cepat,” katanya.
Malah, kata
Abdul Ghani, salah seorang pelajarnya cuma mendapat satu markah daripada 50
soalan matematik dan selepas mengikuti kelas Adi Putra, dia mampu memperoleh
100 peratus selepas dua hari.
INFO: Tip
untuk ibu bapa
- Sebaik kandungan mencecah empat bulan, ibu digalakkan baca surah al-Fatihah, ayat Kursi dan surah al-Inshirah.
- Surah Fatihah adalah ibu al-Quran, ayat Kursi bertujuan menghalau gangguan syaitan manakala surat al-Inshirah untuk melapangkan hati dan fikiran.
- Selepas bersalin, baca surah berkenaan ketika menyusukan anak dan dihembuskan di kepala. Ia boleh diteruskan sehingga anak cukup umur.
- Waktu ketika anak antara sedar dan tidak. Rebut peluang bisikkan kata-kata nasihat, pujian dan pesanan. Ambil masa seminit, dua untuk membacakan doa sambil mengusap kepala mereka selain memberikan nasihat.
- Doakan kejayaan anak, rakan anak mereka, anak rakan dan jiran.
FAKTA:
Rahsia pemakanan ilmuwan Islam
- Madu – Madu adalah makanan yang sangat berkhasiat. Al-Quran mengiktiraf ia ‘shifa’ iaitu penyembuh penyakit. Madu didapati berkesan untuk merawati penyakit dan boleh menghindarkan kepenatan kerja otak seperti berfikir, membaca, merancang dan bermesyuarat. Ia perlu diambil dua sudu teh (gunakan sudu plastik) pada waktu pagi dan malam.
- Kismis – Mengandungi zat besi yang amat diperlukan untuk membina darah bagi memastikan bekalan oksigen yang mencukupi untuk disalurkan ke otak. Adab memakannya ialah dengan mengadap Kiblat, membaca Bismillah dan selawat tiga kali diikuti doa penerang hati. Ia perlu dimakan seperti memakan gula-gula kerana dikatakan tidak berkesan jika dikunyah dan diambil satu persatu sebanyak 21 biji setiap hari.
- Susu segar – Susu berguna untuk kesihatan otak, mempertajamkan ingatan, membekalkan tenaga mental dan fizikal. Susu mengandungi tiga unsur semula jadi iaitu keju, lemak dan air yang amat diperlukan untuk pertumbuhan badan dan otak. Susu yang terbaik untuk ketajaman minda ialah susu kambing, biri – biri dan lembu yang segar. Ia diminum segelas pada sebelah pagi dan malam.
- Telur – Bermanfaat untuk menambah kekuatan otak, badan dan menjaga kesihatan keseluruhannya. Ahli – ahli kesihatan mengakui ia adalah makanan yang lengkap dan berkhasiat. Telur yang terbaik ialah telur ayam kampung dan yang masih baru.
- Halia – Ia sangat mujarab untuk menghindar masalah lupa. Ia boleh dimakan mentah atau dibuat halwa. Halwa ialah halia yang dijadikan Dimakan sedikit saja pada waktu pagi.
- Buah Delima – Mujarab untuk penerang hati seperti sabda Nabi Muhammad SAW: “Sesiapa yang memakan buah delima keseluruhannya, sesungguhnya Allah menerangkan hatinya selama 40 hari.”
No comments:
Post a Comment